Bumi makin tenggelam

Oleh Nasron Sira Rahim (nasron@bharian.com.my)

Lebih 100 juta penduduk dikatakan menjadi pelarian akibat kediaman masing-masing tenggelam ditelan lautan

FILEM dokumentari An Inconvenient Truth yang dihasilkan tahun lalu, menampilkan beberapa fakta mengejutkan antaranya kemungkinan paras laut dunia akan meningkat sehingga enam meter jika fenomena pemanasan global tidak dihentikan segera.

“Enam meter?” Kita mungkin tertanya-tanya kesahihan jangkaan itu. Akan tetapi, jika jangkaan itu benar-benar berlaku, pastinya kenaikan paras laut setinggi enam meter adalah sesuatu yang menggerunkan.

Kawasan tanah rendah dan tepian pantai yang luas di seluruh dunia akan tenggelam menyebabkan kawasan daratan semakin mengecil dengan lautan menjadi semakin luas. Lebih menakutkan adalah 100 juta penduduk (mengikut jangkaan filem dokumentari itu) akan menjadi pelarian lantaran kawasan kediaman masing-masing tenggelam ditelan lautan.

Mengulas jangkaan itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Fredolin Tangang @ Tajudin Mahmud, berkata kenaikan paras laut sehingga enam meter sebenarnya tidak mustahil boleh berlaku tetapi mengambil masa lama.

Beliau berkata, hakikatnya, kajian mendapati paras laut dunia kini semakin meningkat sejak ratusan tahun lalu malah sudah ada beberapa kawasan tanah rendah dan pulau yang tenggelam akibat kenaikan paras laut atau hakisan pantai.

“Akan tetapi, peningkatan dalam beberapa dekad akan datang tidaklah setinggi enam meter tetapi dianggarkan pada penghujung abad ke-21, peningkatan paras laut sekitar 0.5 meter saja. Kenaikan sehingga enam meter memerlukan masa yang lama dan mungkin selama ribuan tahun,” katanya.

Katanya, terdapat tiga faktor menyebabkan paras laut meningkat dan semua faktor terbabit berpunca daripada aktiviti pemanasan global.

“Dianggarkan kira-kira 57 peratus dari peningkatan paras laut berpunca daripada kesan pengembangan haba di lautan manakala kira-kira 28 peratus lagi disumbangkan oleh pencairan glasier dan litupan ais.

“Selebihnya disumbangkan pencairan ais di Greenland dan Antartika. Buat masa ini sumbangan pencairan di kedua-dua kawasan itu masih kecil tetapi sumbangan itu pasti meningkat seiring peningkatan suhu dunia pada beberapa dekad akan datang,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan paras laut akibat pengembangan haba berlaku apabila suhu air laut menjadi panas akibat menyerap haba yang berlebihan dalam sistem iklim dunia dan keadaan itu menyebabkan isipadu air laut juga bertambah.

“Menurut Laporan Penilaian Keempat Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (AR4 IPCC) yang dikeluarkan Februari lalu, aktiviti pemanasan global menyebabkan purata suhu dunia meningkat 0.74 darjah celsius dari 1906 hingga 2005.

“Bagaimanapun, dalam tempoh lima dekad terakhir, kadar pemanasan meningkat dua kali ganda kepada 1.3 darjah celsius. Seiring dengan peningkatan purata suhu dunia, purata paras laut juga meningkat dan peningkatan sepanjang abad ke-20 dianggarkan 0.17 meter,” katanya.

Laporan AR4 IPCC juga menjangkakan pada penghujung abad ke-21, purata paras laut dunia dianggarkan meningkat dari 0.18 meter hingga 0.59 meter berbanding paras laut pada 1980 hingga 1999.

Peningkatan paras laut sememangnya mendatangkan ancaman serius malah ketika ini, sudah ada beberapa kawasan tanah rendah dan pulau seperti Pulau Tuvalu di Lautan Pasifik yang menghadapi risiko ditenggelami lautan.

“Bagaimanapun, kadar kenaikan paras laut ini berbeza mengikut tempat, corak tiupan angin musim, fenomena iklim seperti El Nino dan La Nina selain fenomena air pasang-surut yang berubah pada skala masa diurnal.

“Ada tempat yang mungkin mengalami kadar kenaikan paras laut yang tinggi manakala tempat lain mungkin rendah sedikit,” katanya.

Peningkatan paras laut juga boleh mendatangkan bahaya antaranya mampu mengakibatkan bencana banjir. Suhu laut yang semakin panas pula menyebabkan kejadian ribut dan taufan berlaku lebih kerap dan semakin dahsyat.

Selain itu, perubahan suhu dan pencairan ais juga menyebabkan beberapa spesies hidupan kutub seperti beruang polar, semakin terancam. Habitat hidupan itu semakin mengecil, rantaian makanan mereka terjejas dan dikhuatiri jika masalah ini berterusan, spesies terbabit akan mengalami kepupusan.

Mengulas jangkaan An Inconvenient Truth bahawa tiada ais di Lautan Artik pada musim panas 2050, Dr Fredolin berkata, keadaan itu tidak mustahil berlaku malah menurut IPCC, kadar penyusutan litupan ais di Artik pada musim panas adalah 2.5 peratus dari 1953 hingga 2006.

“Berdasarkan kadar ini dan unjuran yang dibuat pelbagai model dalam laporan IPCC, kadar penyusutan litupan ais diunjur berlaku pada kadar 5.4 peratus bagi tempoh sedekad dan berdasarkan kadar ini, litupan ais akan lenyap antara 2050 hingga awal abad ke-22.

“Bagaimanapun, kajian terbaru berdasarkan data satelit, pencerapan kapal laut dan kapal terbang mendapati kadar penyusutan dari 1953 hingga 2006 sebenarnya jauh lebih tinggi iaitu sekitar 7.8 peratus.

“Berdasarkan anggaran ini, penyusutan yang berlaku dijangka lebih cepat dan memang ada kemungkinan tinggi Lautan Artik akan bebas dari ais pada musim panas beberapa dekad sebelum 2050,” katanya.

Beliau berkata, ketiadaan litupan ais di lautan akan membawa implikasi besar kepada pencerapan haba oleh lautan dan peningkatan suhu air laut kerana tanpa litupan ais, permukaan laut akan menyerap haba dengan lebih cekap.

FAKTA: Peningkatan paras laut

  • Kadar peningkatan purata paras laut dunia adalah sekitar 1.8 milimeter (mm) setahun bagi tempoh 1961 hingga 2003 tetapi ia meningkat pada kadar lebih tinggi iaitu 3.1 mm setahun dari tempoh 1993 hingga 2003.
  • Dianggarkan 80 peratus haba yang terdapat di atmosfera akan diserap lautan sehingga lautan juga menjadi panas sehingga ke kedalaman 3,000 meter dan apabila lautan menjadi panas, isipadunya juga akan bertambah.
  • Jangka masa peningkatan paras laut mengambil masa yang lama disebabkan proses mengagihkan haba secara keseluruhan dalam lautan mengambil masa yang lama.INFO: Pemanasan global
  • Berpunca daripada pembakaran bahan api fosil seperti arang batu, minyak dan gas menyebabkan peningkatan mendadak karbon dioksida dalam atmosfera. Karbon dioksida dan gas rumah hijau lain mampu menyerap haba solar serta memanaskan haba terbabit. Keadaan ini adalah sesuatu yang bagus kerana ia menyebabkan Bumi kita sesuai untuk didiami.
  • Bagaimanapun, peningkatan mendadak karbon dioksida di atmosfera akibat pelepasan gas rumah hijau tanpa adanya keseimbangan penyerapan oleh pohon hijau (yang semakin berkurangan akibat aktiviti pembalakan) menyebabkan suhu di Bumi semakin panas.
  • Kajian penyelidik Institut Fizik Universiti Bern dan ‘Projek Eropah mengenai Empulur Ais di Antartika’ membentangkan data yang empulur ais di kawasan itu mengandungi paras karbon dioksida lebih tinggi berbanding 650,000 tahun lalu.
  • Amerika Syarikat dan Australia adalah antara negara yang enggan menandatangani Protokol Kyoto 1997 yang diperkenalkan sebagai usaha mengurangkan pemanasan global dengan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau khususnya pelepasan sebatian karbon di kalangan negara peserta.
  • Pengumpulan data oleh saintis mendapati 2005 direkodkan sebagai tahun paling panas di bumi sejak penghujung abad ke-19 manakala 1998 adalah tahun kedua paling panas.
  • Kajian terbitan jurnal ‘Nature’ pada 2004 meramalkan yang perubahan iklim dunia akan menyebabkan lebih satu juta spesies pupus menjelang 2050.
Advertisements

Tidur siang boleh jejas mental kanak-kanak

LONDON: Ibu bapa yang memujuk anak mereka supaya tidur pada waktu petang mungkin tidak sedar bahawa ia sebenarnya memberi kesan negatif kepada golongan muda itu.

Satu kajian terbaru mendakwa, amalan tidur siang boleh merencatkan pertumbuhan mental golongan muda, termasuk kanak-kanak selain menggalakkan masalah tidur di kalangan mere-ka.

Beberapa penyelidik antarabangsa di Amerika Syarikat dan Jepun mendakwa kanak-kanak khususnya yang tidur siang, terbukti sukar tidur malam dan gagal mempamerkan kecemerlangan dalam permainan khas bagi mengukur daya perancangan dan kemahiran mereka.

Akhbar Daily Mail melaporkan semalam, penyelidikan diketuai Dr John Harsh dan rakannya daripada Universiti Southern Mississipp, menjalankan kajian dengan menemubual ibu bapa 738 kanak-kanak berusia dua tahun ke atas.

Ini termasuk bertanyakan tabiat tidur mereka dan kanak-kanak yang lama tidur siang, didapati tidur malam pada purata 39 minit lebih lewat daripada rakan sebaya yang tidak tidur siang.

“Kanak-kanak yang tidur siang bukan saja payah tidur malam, tetapi sukar bangun pada keesokan harinya.

Mereka juga sering ‘buat perangai’ pada sebelah pagi, enggan ke sekolah dan masalah itu berlanjutan sehingga beberapa lama,” kata penulis kajian Dr Alyssa Cairns yang membentangkan hasil penyelidikan itu pada mesyuarat Persatuan Bersekutu Kajian Tidur di Minneapolis.

Kajian itu disokong penyelidikan oleh Dr Kazuhiko Fukuda, Universiti Fukushima yang dipetik edisi terbaru New Scientist.

Beliau membandingkan kanak-kanak yang menghadiri taska yang mewajibkan tidur siang 90 minit dengan kanak-kanak lain seusia yang tidak ke taska.

Selain tidur lewat 30 minit berbanding rakan sebaya, kanak-kanak yang diletakkan di taska dari pagi sampai petang itu terbukti mempamerkan pelbagai masalah seperti membuat perangai pada setiap pagi dan enggan ke sekolah.

“Tabiat buruk itu berlanjutan sehinggalah mereka memasuki sekolah rendah dan tidak tidur siang, mungkin disebabkan pengaruh tidur siang ke atas keupayaan dan corak bangun tidur mereka,” kata Dr Fukuda.

Seorang lagi penyelidik Amerika, Dr Joe McNamara daripada Universiti Florida, menjalankan kajian ke atas 27 kanak-kanak tadika yang diukur tahap kemahiran mereka menggunakan sejenis permainan ‘puzzle.’

“Kanak-kanak yang banyak tidur siang hanya dapat menyelesaikan sedikit permainan itu. Semakin lewat mereka tidur malam, semakin kurang daya kecekapan mental mereka. Tidur siang tidak boleh dijadikan pengganti kepada tidur malam,” katanya.

Kajian itu turut menegaskan yang tidur siang juga bukanlah pengganti kepada tempoh jam tidur malam yang hilang.

Bagaimanapun, berbeza dengan penduduk di Mediterranean, tidur petang didapati mengurangkan risiko kematian menurut tinjauan bersama penyelidik Greece-Amerika yang dipetik pertubuhan German Green Cross (DGK).

Kajian Sekolah Perubatan Universiti Athens dan Kajian Kesihatan Awam Harvard di Amerika, memeriksa lebih 20,000 warga Greece berusia 20 hingga 86 tahun dalam satu penyelidikan kanser. Antara soalan yang ditanya termasuk sama ada atau kekerapan mereka tidur petang. – Agensi

Hari Gotong-Royong Perdana

BANGI : Program gotong-royong yang dianjurkan pihak sekolah Kebangsaan Bangi mendapat sambutan paling baik dari keluarga. Ini dilihat peratusan kedatangan ibu dan bapa yang turut serta dengan membawa pelbagai alatan termasuk tukul dan paku. Bahkan ada juga antara para muri yang membawa penyapu yang masih tertampal lagi padanya harga sekian ringgit. Syabas di ucapkan. Semoga program seumpama ini boleh diteruskan lagi untuk masa-masa akan datang. Seorang bapa kepada murid tahun 3 berkata, pihak PIBG pun sebenarnya boleh menganjurkan program ini tanpa arahan dari pihak kementerian, kami sedia datang dan kalau ada ibu bapa yang tidak begitu prihatin masalah ini kita teruskan juga.